Aktiviti seni dan budaya diteruskan
NORSHAHZURA MAT ZUKI | | 18 Julai 2021

 

Pelbagai program seni budaya secara dalam talian sepanjang 2021 disusun bagi melengkapkan Kalendar Seni Budaya JKKN 2021.

SEJAK Mac tahun lalu, negara masih terus dibelenggu oleh pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terus dilaksanakan hingga kini bagi memutuskan rantaian wabak dalam komuniti.


Dalam tempoh lebih setahun ini, pergerakan orang ramai terbatas untuk tujuan penting sahaja, manakala aktiviti rentas negeri dan negara dilarang sama sekali.

Berikutan pelaksanaan PKP, banyak sektor terjejas dan salah satunya adalah aktiviti kebudayaan dan kesenian.


Pelbagai acara di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa terpaksa dibatal atau ditunda, sekali gus menjejaskan industri pelancongan negara secara amnya dan para penggiat seni dan budaya.

Tahun lalu, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menganggarkan hampir 2,629 penggiat seni dan budaya terjejas dari segi aspek pendapatan.

Ketua Pengarah JKKN, Mesran Mohd Yusop berkata, bagi mengatasi isu berkenaan, sebanyak 279 perancangan telah disusun dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ini harus dicapai seperti tahun-tahun sebelumnya.

Menurutnya, kekerapan aktiviti sebanyak 305 kali akan dilaksanakan pada tahun 2021 menerusi peruntukan berjumlah RM2.7 juta.

Melihat keadaan dan situasi pandemik yang tidak kelihatan surut, JKKN mengambil insiatif dengan mengadakan program secara dalam talian menggunakan medium media sosial rasmi JKKN.

Ini memberi peluang kepada semua pihak terutama penggiat seni budaya untuk terus berkarya tanpa menunggu program dilaksanakan secara fizikal.

“JKKN akur dengan arahan dan peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan terutama melibatkan SOP penganjuran dan pelaksanaan program sosial yang melibatkan persembahan dan perhimpunan,” katanya kepada Sinar Harian.

Insentif

Beberapa bentuk bantuan dan perkhidmatan sedia ada disalurkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat menerusi Insentif Seni JKKN.

Program ini bertujuan untuk membantu penggiat seni menjalankan aktiviti kesenian dan persembahan di mana-mana premis seni budaya di samping mampu menjana pendapatan.

JKKN juga menawarkan Insentif Seni Budaya kepada penggiat, persatuan, kelab, dan syarikat seni di Malaysia melalui beberapa insentif seperti kewangan, kemudahan fasiliti, khidmat nasihat dan kepakaran serta promosi dengan peruntukan sebanyak RM300,000 pada tahun 2021.

“Insentif Seni JKKN 2021 akan dapat membantu NGO dan penggiat seni untuk terus menyemarakkan dan merancakkan semula aktiviti seni budaya walaupun kita masih berdepan dengan pandemik Covid-19.

“Objektif kita adalah untuk menarik pelancong datang melawat Malaysia pada masa akan datang.

“NGO memainkan peranan penting untuk membantu kerajaan meningkatkan kembali sektor ekonomi yang terjejas dengan menggunakan teknologi terkini menerusi pemain industri kreatif,” tegasnya.

Sektor pelancongan sangat berkait rapat, malah tidak boleh dipisahkan dengan aktiviti kebudayaan dan kesenian.

Mesran bersama Nancy ketika Majlis Pelancaran Iftar 2021 @ Ramadan Online.
Mesran bersama Nancy ketika Majlis Pelancaran Iftar 2021 @ Ramadan Online.


JKKN sebelum ini telah mengadakan program Pelancongan Budaya di beberapa negeri yang terpilih dan mampu menarik pelancong untuk datang menyaksikannya.

“Sasaran kita adalah untuk memperkenalkan produk baharu di satu-satu tempat di negeri dan daerah bagi menjana ekonomi masyarakat setempat.

“Apabila terjadinya pandemik ini, saya tidak nafikan sektor pelancongan sangat terkesan terutama kepada pemandu pelancong, perhotelan, inap desa (Homestay), pusat peranginan dan pameran artifak serta kesenian,” ujarnya.

Bagi memastikan sektor ini dapat dihidupkan, beberapa langkah telah diambil dengan mengadakan pelbagai pertandingan secara dalam talian mengikut bidang dan umur dengan tawaran hadiah wang tunai.

Menurutnya, perancangan sebanyak 305 aktiviti dan program seni budaya akan diteruskan dan disesuaikan dengan perkembangan semasa serta mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Program ini secara tidak langsung dapat mendekatkan masyarakat dengan aktiviti seni budaya walaupun dengan situasi norma baharu.

Selain itu, katanya, pelaksanaan saluran JKKN TV yang dilancarkan oleh Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri pada 18 Februari lalu, membantu masyarakat mendapatkan maklumat aktiviti JKKN dan info seni budaya.

Transformasi digital

Sebelum pandemik terjadi, JKKN telah pun merancang dan menuju ke arah Industri Kreatif 4.0 dengan menerapkan digitalisasi sebagai salah satu komponen yang akan dilaksanakan di setiap program anjuran JKKN.

Melalui beberapa penambah baikan, 'Transformasi Digital JKKN' telah dibangunkan dan dilaksanakan.

Beberapa program telah berjaya dilaksanakan oleh JKKN seperti Laman Web Rasmi JKKN, JKKN TV, Info budaya melalui QR Code, Virtual Reality (VR Visual), poster digital dan e-book seni budaya.

Melalui bahan-bahan ini, JKKN dapat memberi peluang kepada masyarakat menyertai pelbagai aktiviti seni budaya secara digital hanya di hujung jari.

Kelebihan program dalam talian ini memberi ruang lebih luas kepada pencinta seni budaya bukan sahaja dalam negara malah luar negara, di mana pada tahun 2020 JKKN berjaya menarik seramai lebih 4 juta tontonan.

Selain itu, JKKN kini sedang mengadakan eksplorasi budaya iaitu Kuiz Seni Budaya secara dalam talian, pertandingan 'Battle of The Band: Tak Nak Rasuah' dan Pertandingan Dondang Sayang: Pantun Anti Rasuah secara dalam talian dengan kerjasama strategik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

JKKN juga menganjurkan pertandingan Video Pendek Seni Budaya dan Nilai-Nilai Murni dengan menawarkan hadiah lumayan menerusi aplikasi TikTok, saluran YouTube dan Instagram TV.

“Walaupun program secara fizikal tidak dapat dilaksanakan ketika ini, tidak jadi masalah atau alasan untuk JKKN berhenti membuat promosi atau kempen kerana seni budaya ini sangat universal dan meluas.

“JKKN merancang pelbagai bentuk promosi atau kempen untuk memberi maklumat, penerangan dan program secara dalam talian dengan memfokuskan beberapa program yang bersesuaian ketika ini,” jelas Mesran.

JKKN mengadakan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak terutama media tempatan dengan membeli iklan di media sosial, aplikasi smart phone, poster digital dan sebagainya.

“Inisiatif ini sangat berkesan pada hari ini berbanding media cetak kerana majoriti rakyat Malaysia kini mempunyai telefon dan rangkaian internet untuk mengakses berita dan maklumat.

“Melalui usaha dan inisiatif ini, saya harap ia akan terus menjadi ‘roh’ kepada industri pelancongan dan seni budaya negara, sekali gus membantu memulihkan sektor ekonomi negara yang terjejas.

“Besar juga harapan saya agar rakyat akan terus menyokong usaha JKKN dalam penganjuran pelbagai program seni budaya,” ujarnya lagi.

Beliau akan memastikan JKKN sentiasa mengemaskinikan saluran media sosial Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara #MySeniBudaya bagi memudahkan orang ramai khususnya penggiat seni mendapat maklumat terkini.


Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/150693/BERITA/Nasional/Aktiviti-seni-dan-budaya-diteruskan-1.150693
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf